...andai cinta berakhir di dunia ini...hanya air mata menjadi teman...^^
♥Pandanglah wajah orang yang paling kita
sayangi… samada ibu, bapa, suami, isteri, anak-anak atau siapa sahaja.
Pasti kita akan berpisah dengannya satu hari nanti. Detik itu pasti
datang. Itu janji kita sejak dulu… sanggup datang, sanggup pulang. Kita
dan dia pasti berpisah oleh takdir yang dinamakan kematian.
~Itulah detik yang paling menyedihkan. Sedih bagi mereka
atau kita yang ditinggalkan. Dan lebih sedih bagi kita yang mungkin
meninggalkan. Tidak kira siapa yang dahulu, siapa yang kemudian –
ditinggalkan atau meninggalkan pasti menggetirkan.~Seorang isteri
yang kematian suami… ketika seluruh dan sepenuh hati masih bersamanya.
Masih banyak yang perlu diselesaikan – anak-anak, cita-cita dan harapan –
tetapi ajal maut datang memutuskan segala dan semua yang kita inginkan.
Ya, kita cuma hamba. Pada kita cuma tadbir, pada-Nya segala takdir.
♥Kekadang masih tak puas bermanja dengan ayah dan ibu… tiba-tiba sahaja
mereka dipanggil pergi. Hingga lidah kelu dan hati sayu, tidak ada lagi
insan yang boleh panggil ibu. Oh, sedihnya apabila ditinggalkan ayah…
insan yang paling kita yakini sangat mencintai kita dan kasihnya yang
tidak pernah berbelah, tetapi terpaksa berpisah!
♥Sekiranya saat
ini kita diuji dengan kematian… ditinggalkan oleh yang tersayang. Maka
kenangkanlah hidup kekasih Allah, Rasulullah saw. Bukankah baginda telah
dididik oleh mehnah paling getir yang bernama kematian? Bukankah
ayahnya Abdullah pergi dulu sebelum sempat baginda dilahirkan? Ibunya
Aminah menyusul beberapa tahun kemudian.
♥Tidak sempat bermanja
lama dengan datuknya Abdul Mutalib, datuknya pula meninggalkannya. Lalu
baginda yang yatim lagi piatu itu dipelihara oleh bapa saudaranya Abu
Talib.
~Kenangkan
zaman kanak-kanak Rasulullah, tanpa ibu-bapa tetapi telah tega menjadi
gembala kambing. Padang pasir dan angin kering menjadi sahabatnya.
Lukisan alam itulah yang melakarkan jiwa suci dan akal tajamnya hingga
mencari-cari makna kehidupan. Tidak sudi dia menjengah jahiliyah. Tidak
rela dia dengan maksiat dan dosa. Hatinya berkata, bukan itu kebenaran
dan kebahagiaan… lalu dia menyendiri di dalam gua. Jika tidak mampu
mengubat, jangan dijangkiti. Lalu baginda lari… menyendiri.
♥Sejak baginda berkahwin dengan Khadijah, itulah srikandi sejati
cintanya. Yang membawa bekal makanan ke gua Hira’. Yang menyelimuti
tubuh dinginnya apabila digegar wahyu pertama. Yang memberikan jiwa dan
harta untuk dia berdakwah, berjuang apabila digesa oleh surah Mudasthir
(orang berselimut) – qum faanzir – bangun dan serulah! Itulah Khadijah
kekasih Rasulullah, insan terhampir ketika semuanya meminggir.
~Namun tidak
lama, di tahun dukacita itu… Khadijah pergi buat selama-lamanya. Baginda
kehilangan dorongan – pada jiwa dan harta. Khadijah tiada lagi. Pergi
ketika kasih dan cintanya masih didambakan. Sudah hilang bisikan yang
memberikannya semangat, kasih sayang, pembelaan dan kemesraan. Baginda
berdukacita… Namun, selang hanya beberapa bulan satu kehilangan berlaku
lagi. Abu Talib pula pergi. Sedihnya, dia pamit tanpa syahadah.
~Tiada lagi perisai yang melindunginya daripada ancaman fizikal kaum
Quraisy. Bila-bila masa sahaja pedang, tombak dan panah kaum jahiliah
boleh menerjah. Jika dengan kematian Khadijah, baginda kehilangan
dorongan. Dengan kematian Abu Talib baginda kehilangan perlindungan.
Tanpa dorongan, tanpa perlindungan, Rasul keseorangan untuk meneruskan
perjuangan.
~Tidak cukup
dengan itu, ketika Islam sudah bertapak di Madinah. Seorang ayah bernama
Rasulullah, kehilangan pula puteri-puteri kesayangannya Zainab,
Ruqayyah dan Umi Khalsum… Subhanallah, tabahnya hatimu ya Rasulullah.
Kematian demi kematian, tetapi kau terus hidup dengan hati yang
berjuang. Seolah-olah kematian yang menyedihkan itu menjadi obor
perjuanganmu menerangi hati umat yang mati ini!
♥♥Ya,
saudara-saudaraku. untuk apa semua ini dilakukan oleh Allah yang Maha
Kasih kepada kekasihNya Muhammad? Ya, jangan bergantung kepada
selain-Nya. Hanya bergantung kepada-Nya. Lalu jika kau kini sedang diuji
dengan kematian suami, isteri, ibu-bapa, anak-anak, kenangkanlah hidup
kekasih Allah, Rasulullah. Mari kita hayati dan mengambil ibrah dari
setiap episod kematian yang telah dilaluinya.
♥Jika kita
kematian ayah, ibu, datuk, isteri, ayah saudara, anak dan sahabat… kita
kenangilah hidup Rasullullah yang telah melalui segaladan semua itu.
Hinggalah di saat akhir ketika baginda pula yang dipanggil pergi,
ketika Siti Aishah, Fatimah, Ali dan lain-lain saudara serta sahabatnya
berada di sisi, baginda sudah bersedia, mehnah Allah sudah sampai ke
kemuncak… baginda pula yang akan pergi.
♥Baginda sangat
mencintai semua yang bakal ditinggalkan, tetapi baginda lebih cinta
kepada Allah yang bakal ditemuinya. Lalu mulut baginda hanya
mengucapkan, “rafiqil a’la. rafiqil a’la… teman daerah tinggi (Allah),
teman daerah tinggi (Allah). ” Ya, baginda sudah pasrah meninggalkan
cinta daerah rendah… untuk terbang ke syurgawi, menemui cintanya di
daerah tinggi!
♥Kepada
isteri-isteri yang kehilangan suami, dan mereka yang kehilangan orang
tersayang, atau kita yang bakal kehilangan…yang menziarahi blog ini
untuk mendapat sedikit cicipan ketenangan, aku yang daif ini cuma mampu
menghadiahkan satu tulisan yang telah ku muatkan dalam bukuku ‘DI MANA
DIA DI HATIKU” – tajuknya:
♥♥ANDAI DIA PERGI DULU SEBELUM MU…...~
♥Andai dia pergi dulu sebelum mu, sepuhlah air mata dan teguhkanlah
jiwa. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak
mengapa bersedihlah seketika. Itu fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana
esok kau mesti bangkit semula. Katakan pada diri, ya… kau telah pergi,
pergi bersama doa ku. Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!
♥Andai dia
pergi dulu sebelum mu, tanyakan pada hati mu yang sebati dengan hatinya,
apa yang dia inginkan jika dia masih di sisi? Renung wajah anak-anak
mu, lontarkan fikir melampaui kesedihan. Anak-anak mu punya masa depan.
Di tangan mu segala cita-cita dan harapan. Jangan sampai nestapa ini
menjadi halangan. Apakah kau tega mengecewakan?
♥Andai dia
pergi dulu sebelum mu, katakan pada diri, akan ku galas amanah ini.
Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun, aku tidak akan lemas dipagut
sendu. Berjuanglah, agar dia bisa senyum di Barzakh itu. Oleh nukilan
doa anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak
itulah titiannya. Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada
sungai pahala… yang mengalir selamanya..
♥Andai dia
pergi dulu sebelum mu, walau pun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu
akhir pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah. Kini kita berpisah
untuk bertemu. Inilah jalan takwa yang telah dilalui oleh Siti Aishah,
Siti Habshah, Ummu Salamah, Mariah Qibtiyah bila ditinggalkan
Rasulullah. Syukur kau terpilih untuk melalui jalan mujahadah. Mujur kau
ditakdirkan merasai mehnah Ilahi – tradisi hidup Ummahatul mukminin
yang ditinggalkan suami!
♥Andai dia pergi dulu sebelum mu,
sibuklah diri mu. Beribadahlah sehingga kau letih untuk merasa sedih.
Gembirakanlah hati mu dengan menggembirakan orang lain. Carilah peluang
kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Bila sesekali kesedihan datang
tanpa diundang, berwuduk dan bacalah Al Quran. Dirikanlah solat,
sesungguhnya solat itu satu kerehatan. Begitulah setiap kali Rasulullah
SAW bila terasa gundah… diadukan kesedihan kepada Allah.
♥Andai dia
pergi dulu sebelum mu, bisikan ke dalam hati mu yang paling dalam. Dia
bukan milik ku. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala ialah Al
Malik. DIAlah yang memiliki dan menguasai segala-galanya. Pada kita
hanya amanah, sampai masanya terpaksa diserah. Jangan ada rasa
dimiliki, dan jangan ada rasa memiliki. Bila terasa sepi, jangan katakan
aku sepi… tapi katakan pada ku sentiasa ada pemerhati.
♥Apa
lagi yang boleh menggugat kebahagiaan seseorang manusia yang lebih hebat
daripada kematian? Kemiskinan, kesakitan, celaan, kekalahan dan
lain-lain ujian hidup adalah kecil berbanding kematian. Kematian adalah
“pemutus” segala kebahagiaan. Sama ada, kita ditinggalkan oleh orang
yang kita sayangi. Atau kita sendiri meninggalkan mereka. Saat itu,
adalah saat yang paling derita.
~Jika kematian
dikatakan boleh mencabut kebahagiaan, belajarlah daripada Rasulullah
SAW. Baginda telah menghadapi kematian orang yang tersayang secara
berturut-turut sepanjang hidupnya. Bermula dari alam rahim, baginda
telah ditinggalkan oleh ayahnya Abdullah. Enam tahun kemudian, ibunya
Aminah meninggal dunia. Tidak lama kemudian, semasa masih dahagakan
kasih-sayang, datuknya Abdul Mutalib pula pergi buat selamanya.
Tinggallah dia dalam pemeliharaan ayah saudaranya, Abu Talib.
~Ketika masih perlukan perlindungan Abu Talib, Rasulullah SAW
ditinggalkan lagi. Abdul Talib meninggal dunia ketika keislaman begitu
didambakan. Sedangkan sebelumnya, Rasulullah saw telah kehilangan isteri
tersayangnya Siti khadijah… Lalu tahun itu dinamakan tahun kesedihan!
~Baginda diberi
enam orang anak lelaki yang meninggal semuanya sewaktu kecil. Anak-anak
yang ketiga dan keempat, meninggal dahulu di hadapan matanya. Alangkah
rindunya untuk mendapat cahaya mata lagi, lalu Rasulullah SAW
dikurniakan anak lelaki, Ibrahim. Kebetulan rupanya amat mirip dengan
baginda. Tetapi Ibrahim juga meninggal dunia ketika sarat menyusu.
~Lalu ditumpukan kasih sayangnya kepada cucundanya Hasan dan Husin.
Sangat dimanjakan, sehingga pernah sujudnya sedemikian lama hanya untuk
memberi waktu agar cucunya turun dari belakangnya. Namun, dari ilham
Ilahi, baginda telah tahu bahawa ada peristiwa besar bakal menimpa
keduanya. Baginda hanya memberitahu salah seorang daripadanya bakal
mendamaikan perselisihan besar. Dipendamkannya tragedi pembunuhan yang
bakal dihadapi oleh Husin di Karbala.
~Begitulah
Rasulullah menghadapi saat perginya orang yang tersayang. Lalu bagaimana
pula keperibadiannya ketika baginda sendiri pergi meninggalkan orang
yang tersayang? Sejarah menceritakan bagaimana ketika baginda terbaring
di hamparan yang telah tua, berselimutkan kain kasar manakala minyak
pelita lampu rumahnya hampir kehabisan… ketika itulah baginda menyebut,
“rafiqil a’la, rafiqil a’la – teman daerah tinggi (Allah), teman daerah
tinggi!”
♥Dalam “kamus” kehidupan para muqarabin (orang yang
hampir dengan Allah), tercatatlah ungkapan bahawa mati itu adalah syarat
menemui cinta. Ya, begitu rindunya baginda untuk bertemu Allah – cinta
hakiki dan sejatinya. Itulah teman daerah tinggi yang sangat dirindunya.
Perginya dengan tenang walaupun demam panas yang dihidapinya dua kali
ganda yang dialami manusia biasa.
♥Namun begitu,
di saat sakarat yang begitu hebat, masih sempat baginda berpesan
tentang solat. Untuk siapa? Siapa lagi kalau bukan untuk kita… umat yang
akan ditinggalkannya.
Semua orang mengakui hakikat bahawa mati
itu datang tiba-tiba. Tetapi aneh, manusia yang pasti mati itu terus
hidup sambil lewa.
Ketika segala tragedi dan ujian menimpa,
Rasulullah SAW tetap bahagia. Bahagia inilah yang digambarkan oleh
pembantunya, Anas bin Malik dengan pengisahannya:
“Aku telah
menjadi khadam Rasulullah SAW 10 tahun lamanya. Maka tidak pernah
baginda berkata atas apa yang aku kerjakan: “Mengapa engkau kerjakan?”
Tidak pernah pula baginda berkata atas apa yang aku tidak kerjakan:
“Mengapa engkau tidak kerjakan?” Tidak pernah baginda berkata pada
barang yang ada: “Mengapa ada pula barang ini?” Tidak pernah baginda
berkata pada barang yang tidak ada:”Alangkah baiknya kalau barang itu
ada.” Kalau terjadi perselisihan antara aku dengan ahli keluarganya,
baginda akan berkata kepada keluarganya: “Biarlah, kerana apa yang
ditakdirkan Allah mesti terjadi!”
Inilah bahagia
yang dialami oleh Rasulullah SAW. Aku cuba mencungkil sekelumit rahsia
kebahagiaan yang hakiki ini. Mudah-mudahan kita akan dapat menghayati
kunci kata di sebalik model insan yang paling bahagia ini. Kunci kata
itu tepat dan padat – ana abdullahi walan yudhi’ani – aku hamba Allah,
DIA tidak akan mengecewakanku!”
KETIKA RASULULLAH PERGI…♥♥
Tengah hari itu…
gugur butiran air mata di wajah mu
Hibanya hati melepaskan Rasul pergi
Bukan tidak reda,
Tapi itulah hati seorang isteri
pasti ada rasa cinta!
Pada akrab sekian lama yang terpisah
Bagai isi dan kuku…
Tapi hakikatnya kita semua hamba
Yang terpaksa akur dengan takdir-Nya
Jalan mujahadah menggamit kelangsungan budi
Setia seorang isteri tanpa teman menabur jasa
makam itu cuma semadi jasad…
Tapi dian batinnya terus menyala
Pada sebuah amanat di sisi isterinya
Wahai srikandi cinta Rasul yang masih hiba
Duhai srikandi budi yang masih lara
Sepuhlah air mata di usia muda
Melangkahlah semula dengan kukuh
kerna jalan ini masih jauh
Yang wafat cuma jasad
Bukan niat dan semangat!
Citra ini mengimbau sejarah ‘si merah’
– Umamahatul Mukminin Siti Aisyah
di usia remaja menjadi isteri Rasulullah
Teman Rasul ketika berjuang membela umat
Teman Rasul ketika di amuk sakarat
di ribaannyalah baginda wafat
Sepeninggalan Rasul…
Dialah gedung ilmu yang mendidik tanpa jemu
Dialah gunung budi yang berbakti tanpa henti
Dia hanya kehilangan suami
Tapi bukan kehilangan misi!
Sesekali ketika rawan diusik kenangan…
Berteduh di sejuk wuduk menawar gundah
Istirahat hati pada satu hakikat…
Cintaku hanya sedebu cinta-Nya
Relakanlah dia pergi…
Menemui temannya di daerah tinggi!
No comments:
Post a Comment